3 January 2020

Kehilangan


Assalamualaikum.

Lebih dua tahun aku tak update apa-apa dalam blog ni. Terasa rindu untuk menulis semula. Terasa rindu untuk luahkan perasaan dan terasa rindu untuk mencoretkan rasa.

Allahyarham Mohamad Hafis Mohamad Saleh

Hari ini telah genap 16 bulan dan 6 hari aku kehilangan suami. Ya, aku telah kehilangan insan yang amat aku cintai iaitu suamiku pada 31 ogos 2018. Insan yang aku impikan untuk hidup bersama selamanya telah dulu pergi meninggalkan aku.

Kami hanya sempat melayari bahtera rumah tangga selama tiga tahun tiga minggu dan tiga hari. Hanya dalam waktu yang singkat ini, Allah pinjamkan dia buatku dan kini Allah telah ambil dirinya kembali. Aku redha dan aku makin redha.

Dahulu, dahulu kami sering lakukan segala aktiviti bersama. Tidak pernah walau sekali aku membelakangkan dirinya. Walau apa yang aku lakukan, pasti… pasti aku akan mendapatkan keizinan darinya. Walau hanya tiga tahun 3 minggu dan 3 hari aku bergelar seorang isteri kepada seorang suami, itu tak bermakna aku tidak punya rasa.

Walau ada yang kata, tempoh perkahwinan kami masih singkat, tapi itu tak bermakna bahawa cinta dan kasih sayang kami tidak sekuat kalian yang berkahwin lebih 5 tahun, lebih 10 tahun mahupun lebih 15 tahun dan seterusnya. Ya, aku tidak sama sekali membezakan tahap kasih sayang kalian terhadap pasangan masing-masing dengan diri aku. Tapi ingin aku tekankan, janganlah kalian cakap, ‘korang baru kawen 3 tahun, masih tak banyak kenangan bersama, so kau mesti senang nak move on’. Kalian tidak berada di dalam kasut aku dan kalian juga tidak tahu apa yang aku rasa dan apa yang aku lalui. Kita semua tidak sama.

Sedangkan mereka yang berkahwin satu bulan, satu minggu mahupun satu hari akan terasa peritnya jika kehilangan orang tersayang lebih-lebih lagi kehilangan selamanya. Jadi, janganlah kita menjadi hakim yang mempersoalkan rasa kasih sayang antara pasangan kerana Allah telah menciptakan hambanya berpasang-pasangan.

Alhamdulillah, setelah lebih setahun, kini aku dah boleh terima kenyataan yang aku tidak lagi mempunyai pasangan dan hanya setakat itu sahaja Allah pinjamkan masa untuk kami berkasih sayang. Walau hanya sekejap Cuma, namun aku tahu, nilai kasih sayang ini akan kekal selamanya. Walau tidak banyak kenangan yang sempat kami cipta, namun kami masih punya penyambung zuriat yang Allah berikan buat kami. Nur Hafizah Qalby. Ya, sekarang dah bijak walaupun baru masuk umur satu tahun satu minggu.


Doakan aku untuk terus kuat dan semakin kuat dari hari ke hari.




Terima Kasih Sudi Singgah